Wednesday 21 December 2011

Telah hanyut kian jauh di lautan masa ...

Janganlah kesendirian ini menyihir jejak detik kerana aku tak ingin terkurung dalam dingin arus kenangan!

Nyata, hayat ini adalah tempoh yang diberi Tuhan untuk kita mencari pengisiannya. Ada suka dan duka tapi itulah duga yang perlu ditempuh, sehingga hayat berakhir dan diganti dengan hayat yang lain

Malam bagi penyair sering dikaitkan dengan sunyi, mungkin benar tapi ada juga sebaliknya. Maha adil Tuhan yang telah menjadikan malam dengan pelbagai suasana untuk kita mentafsirkan maksudnya.

Hujan membawa detik syahdu lewat dingin dan bunyi titisannya. Kadang kita membuka jendela kenang saat hujan datang, melihat masa lalu yang tak akan berulang

Engkau Juita Malamku sejak siang menyinar alam. Dari persembunyianmu kutahu kaulihat aku menyusun aksara TERIMA KASIH untuk teman lenamu. Terima kasih kerana keikhlasan itu

Rindu itu adalah himpunan harum dari berjuta mawar, hingga ia menerbitkan kelam cuaca lantaran tidak terurai seri dari kelopaknya. Maka merindulah seperti aliran tenang sungai dingin ... indah dan mendamaikan

Tempoh sepanjang siang adalah ulangan tamsil pada hayat yang dilalui. Segala yang ditempuh adalah ganjak masa, mendekatkan kita pada detik hujung hari yang bakal ditutup gelap ...

Desa yang menatang hidup keluarga petani, membesarkan kami dengan tatapan penuh sayang dan mesra. Inilah Daerah Rindu yang sentiasa lekat dalam ingatan meski di mana pun aku berada ...

Kita doakan kejayaan dan kemenangan mereka ...

Sendirian aku berjalan menyusur waktu. Kala rinai gerimis pun seakan tahu, lalu turun membasuh pedih perihnya luka kenangan

Andai jarak penantian itu tidak langsung mampu diukur ...

Jika apa yang diberi, tidak dihargai ...

Tuesday 20 December 2011

Kenapa nota ini kucatatkan? Jawapannya tentulah kerana saat ini aku sunyi kerana kau jauh. Tapi aku kira meski engkau dekat pun, masih ingin kudengar lirih suaramu itu untuk kujalin dengan suaraku menjadi tembang yang satu ...

Luasnya rimba angan tak terjangkau fikir. Tidak salah untuk berada di tengahnya. Asalkan tahu mencari jalan untuk keluar ke saujana padang ...

Moga benarlah apa kataku ...

Nota dari sebuah balkoni yang telah lama tak kukunjungi ...

Pernah kuberimu mawar sebagai tanda kenangan, maafkan ... kerana sedikit dari harumnya masih kekal kusimpan

Rindu : perasaan yang sukar diterjemahkan dan terasa berat jika yang dirindu itu amat menyenangkan malah dapat memberi kegembiraan. Maknanya amat abstrak kerana siapa pun boleh merindui siapa juga dan apa saja!

Aku sudah kembali ke Kampung Sawah. Meninggalkan kota tempat aku mencari rezeki suatu ketika. Memang suasananya jauh berbeza tapi inilah hakikat kehidupan, di mana pun kita berada rezeki tetap diperoleh sebagaimana janji-Nya. Syukur kerana punya desa yang menyenangkan, malah tak pernah aku lupakan

Ini daerah rinduku : tempat di mana sewaktu kecil dulu, aku memasang jerat burung tepi belukar. Atau bila hampir musim menuai aku dan rakan sebaya menangkap ikan di lopak-lopak tengah sawah. Kenangan memang indah ... ya, selalunya indah !

Sepanjang jalan yang tak terduga jaraknya, kita melihat pohon dan rumputan sering bertukar wajah. Kenangan bagai daunan rimbun namun ada ketikanya seperti padang kering tempat bermain pusaran angin. Walau apapun bentuknya, ia adalah sesuatu yang sentiasa terpapar di kelir pandang. Siapapun yang masih punya ingatan, takkan mampu memadam kenangan !

Tak siapa pun di antara kita dapat menebak bila dan di manakah titik terakhir itu ...

Sesungguhnya kehidupan bagaikan pergantian datang dan pergi. Tidak salah untuk kita saling " Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran ... "

Kalau embun jernih dan dingin, ia murni menyegar alam. Seorang ibu pula menjadi perempuan yang sabar dengan segala duga sepanjang hayatnya di tengah keluarga. Ya Khaliq, Terima Kasih kerana menciptakan ibuku, seorang perempuan tak ternilai budi pada kami ...

Memang adatnya hidup ini umpama putaran roda, tapi atas daya kita juga untuk kita berada di mana. Sama ada berada lama di puncak atau terus menyerah di lantai paling bawah

..... inikah gambar sunyi ?

" Ibu, aku telah kembali ke daerah rindu ...

sebahagian nota penyair dalam antologi puisi GENTA Dewan Bahasa dan Pustaka 1993

..... kerana engkau bunga pilihan. Meski asalmu di luas padang, kau bakal menyeri sebuah taman !

Desis daunan jatuh dari pohon tak mampu didengari, apatah lagi untuk menangkap gerak usia yang berlalu dalam senyap namun pasti ...

Tiada siapa pun menolak kebahagiaan, malah tidak kurang juga yang gagal mengecapnya. Terpulang pada kita mencarinya dengan segenap cara asalkan wujud saling pengertian menuju ke arahnya

Sedar atau tidak, cermin mengkhabarkan gerak masa yang membawa kita kepada tempoh baru tiap kali menatapnya

Marilah, sila duduk di bangku ini kerana sejak lama ia tinggal sepi

Meski aku di sini dan engkau di sana, ketahuilah bahawa kita sedang berbagi gelap dan bulan yang sama ...

Mudah menyebut perkataan kecil CINTA itu. Tapi ada makna yang amat besar dibawanya, bermula dari Cinta-Nya menciptakan dunia dan kehidupan termasuk juga kita. Cinta yang tulus tidak membangunkan sebarang tembok malah sempadannya juga tidak ada. Lantaran cinta wujud dalam 'rasa', dengan rasa juga ianya dapat ditafsir untuk diterima atau diabaikan saja ....

Kebahagian terjelma jika setiap pihak saling ikhlas menerima kelebihan mahupun kekurangan satu sama lain .... memang ' ideal ' kata-kata itu, tapi ianya tidak mustahil ...